19.3.11

Cerita Brother Teksi



Malam itu hujan renyai2, aku dah hampir satu jam menunggu dihadapan Ampamg Point, tiada sorang penumpang pun yang sudi naik teksi aku, rokok starmild dah hampir satu kotak aku sedut, pada jangkaannya malam inilah yang menjadi malam paling hangat bagi pasangan budak2 muda kerana malam 14 Feb, tetapi jangkaan itu meleset rupanya. Kemana perginya penumpang malam ni...? Dah kaya semua ke warga kota ni, sehingga tidak perlu  perkhidmatan teksi lagi. Lama aku bersungut sambil memerhatikan bangunan Ampang Point yang cantik apabila disuluh lampu berwarna-warni.
Dalam pada itu hati ini tak putus2 bertanyakan itu dan ini, macamana nasib pemandu teksi jika tiada penumpang, bagi aku tidak merasa begitu kecawa kerana ini adalah kerja sambilan sahaja, aku masih memperolehi gaji bulanan melalui kerjaku dalam bidang percetakan. Kini baru lebih kurang tiga bulan aku menjadi driver teksi sambilan waris dari bapaku, banyak lagi destinasi yang hendak ditujui terpaksa bertanya kepada penumpang, terkadang tu pelancong dari luar negeri lebih tahu dariku tempat yang hendak ditujui, ada kalanya juga pelancong yang menegur jika aku terikut jalan lain atau 'short cut'.

Dalam masa yang begini singkat, bermacam-macam ragam penumpang yang pernah aku jumpa, ada sekali tu ada tiga orang awek yang sangat sexy meminta aku menghantarnya ke Stapak dari Kota Raya,  tak senang duduk aku dibuatnya, sebab dah tentu dua orang duduk dikerusi belakang dan sorang disebelah driver, yalah, nak masukkan 'gier' pun kena berhati-hati sebab dah beberapa kali tersentuh dengan pehanya yang gebu, dah tu pulak yang duduk kat kerusi depan tu, sangat ramah, ada kalanya saja tunduk buat aku keras dikerusi. Masa itulah tiba2 aku menjadi sangat ramah, perbualan kami sangat mesra sehingga tidak sedar tempatnya sudah sampai, pastu setelah sampai disana aku disuruh menunggu sekejap ditepi sebuah Apartment, nak tukar baju jap pastu nak ke KL pulak kata salah seorang dari mereka, rupanya sampai setengah jam aku menunggu baru aku sedar yang aku sebenarnya ditipu... tak sangka betul perempuan secantik itu rupanya penipu.


Kalau penumpang India, lain pula ceritanya, ada sekali tu aku di tahan oleh seorang India di Bus Stand Klang. Sebelum beliau masuk kedalam teksi, aku sempat melihat gelagatnya bersama sahabatnya bersalaman dengan erat tak cukup dengan itu berpelukan lagi tidak lupa kata2 nasihat yang panjang, dia tidak pedulikan aku yang dah menunggu hampir sepuluh minit dihadapannya, panjang betul ucapan nasihatnya. Pakaiannya kemas bertali leher lagi, Setelah dia masuk dengan lagak orang kaya, aku terus bertanya "Encik mau kemana"?, "Cheras" jawabnya ringkas dan kuat sambil tangannya melambai sahabatnya, setelah aku membuat U- turn tidak jauh dari situ, tiba2, dia berkata, "sini berhenti"...sini berhenti, aku mula hairan, "ada apa2 yang tertinggal ke" tanya aku, "bukan", bukan,  jawabnya, "sebenarnya saya duit tadak jugak", "tadi tu saya cuma eksyen sama saya punya kawan jugakkk... katanya. "Sorilah encikkk... katanya, panjang lagi ucapan maafnya, akupun tiada banyak bicara lagi terus memberhentikannya berhampiran dengan Kota Raya. Nak berlagak kaya rupanya, ada lagi orang macam ni, cara dia menipu kawannya, sebiji macam cerita "masam-masam manis" pengaruh P. Ramlee betul.

Bagi aku kerja ini sebagai ibadah mana yang patut cegah, aku cegah termasuklah pelancong dari luar negara sekalipun, aku ni bukan pandai sangat berbahasa Inggeris, setakat yang asas sahaja, mungkin lebih teruk lagi dari itu, ada juga pelancong ni kadang tak faham dengan budaya kita, dia buat macam tempat dia saja. Ada sekali tu aku maki pelancong ni dalam bahasa Malaysia, segala kata2 kesat aku keluarkan sebab aku tahu dia tak faham, salahnya sebab dia orang ni romen dalam teksi aku, dah tentu aku tercabar. Mana aku nak letak mata aku ni , asyik pandang ke belakang saja, kalau begini boleh accident kata aku. yang bestnya mat saleh ni faham cakap aku dan dia minta maaf. Dalam hati aku tergelak sendirian bila terasa tindakan aku ini ter'over' sudah.


Berbalik kepada cerita aku menunggu di Ampang Point tadi, sedang aku tersenyum sendirian memikirkan nasib diri ini, tiba2 ada seorang perempuan dengan cemas masuk dipintu belakang, pakaiannya serba hitam dengan mengenakan baju serkup kepala, belum sempat aku bertanya apa2, dia telah memberi arahan, "Abanggg... boleh pergi Jalan Kucai Lama".. "Boleh..tapi kenapa nampak macam kelam-kabut sangat ni" tanya aku, "Ikut saja jangan banyak tanya"... katanya. Aku mengikut sahaja segala arahannya, tetapi dalam hati ini penuh dengan persoalan. Lain macam sangat budak perempuan ni, tak ramah langsung. "Abang nanti boleh tolong tengokkan seseorang dalam disco tak"? aku terkejut dengan pertanyaan perempuan ni. dahlah sombong, kuat mengarah pulak tu, "kenapa sampai kesitu pulak, awaklah yang pergi cari," kata aku. "saya takut dia cam saya." katanya.

Dia menceritakan hal sebenarnya,  bahawa dia adalah pemberi maklumat polis, (informer) jadi orang yang dikehendaki sedang menuju kesana. Sementara dalam perjalanan menuju Kucai Lama, tiba2 aku diarah patah balik menuju Petaling Street pula, katanya kalau mengikut PDA yang dikeluarkan dari poket bajunya, lelaki arab ini menuju kesitu... aku merasa hairan, betul ke PDA boleh mengesan orang?, sampai di Petaling Street, aku disuruh berhenti dihadapan Kota Raya, tak lama kemudian "itu dia, itu dia..." kelihatan tiga orang lelaki arab berbadan tegap bercakap-cakap sambil menunggu teksi diseberang jalan. Mungkin kerana bosan menunggu teksi semuanya penuh, lelaki arab itu, menyeberangi jalan lalu menuju kepada teksi aku, "macamana ni, dia datang kesini" aku menjadi cemas. "jalan terus, jalan terus jangan biar dia nampak saya" kata perempuan itu, aku pun jalan terus melintasinya, kelihatan aksi marah lelaki arab dengan menunjukkan tangannya kepada aku. Teksi dibelakang mengambilnya,  aku disuruh mengekorinya, kadang laju dan kadang perlahan, dalam pada itu terasa lucu bila sesekali teksi yang dikejar hilang dari pandangan dan membelok kejalan yang lain, aku jadi cemas tetapi perempuan itu pandai memujuk dan memberi semangat, dia mengeluarkan hp dan dapat mengesan kemana orang yang diekori menggunakan PDA lagi. "Dia pergi ke Ampang Point ni...bang", takpa kita ke situ sahaja. Sesampai di A. Point, memang betul dari jauh teksi itu menurunkannya disitu, kelihatan dua orang lelaki berbangsa Arab turun dari teksi, aku disuruh tunduk supaya tidak terlihat oleh lelaki itu. Ketika itu aku terasa diri ini seperti polis perisikan, semua arahan perempuan  yang tidak mahu dirinya diperkenalkan itu aku ikuti.  Dari jarak lebih kurang 50 meter kami perhatikan lelaki Arab tadi, Dalam hati aku berkata, mungkin Orang Arab ini ada kaitan dengan sendikit dadah dan perempuan ini diarah supaya menyiasat siapa lagi yang terlibat.


Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. "Dia naik ke pusat permainan tingkat 4 lah....." kata informer itu. "Abang pergi tengok boleh tak?", aku sudah mula resah,  kalau aku naik, macamana dengan teksi aku?, selamat ke kalau aku biarkan bersama orang yang tidak aku kenali disini?, mungkin perempuan ini pencuri, tiba2 lintasan itu datang. Akhirnya aku berhentikan teksi berhampiran dengan pondok polis A.Point disitu lebih selamat. Dengan rasa terdesak aku naik ke tingkat 4, disitu masih ramai lagi anak2 muda menghabiskan masa, sedang mata melilau memandang sekeliling tiba2 aku dikejutkan dengan teguran seseorang. "abang cari siapa", tanya seorang berbadan tegap berotot lagi. "cari member" jawab aku ringkas, tiba2 perempuan tadi call katanya, cepat turun, "orang arab tadi ada kat bawah", aku cepat menuju lif berhampiran, sampai dibawah aku melihat teksi aku masih ditempatnya, debaran aku hilang. Kami mengekori lelaki arab itu menuju ke sebuah apartmant berhampiran Ampang Point, kami pastikan betul2 lokasinya. Aku berhenti ditempat yang terlindung dan gelap, sambil mata memerhatikan gelagat lelaki arab itu. Rupanya dalam kami sibuk mengintip, tak sedar yang kami juga diintip, "Buat apa ni dalam gelap berdua-duaan... romen ya.."? kata pegawai keselamatan apartmant itu dengan penuh curiga. Belum sempat habis lagi ceramahnya, aku berlalu dari situ.

Setakat itu selesailah tugas aku sebagai pembantu informer, tugas terakhir aku ialah menghantar perempuan itu kerumahnya, ketika itu bacaan pada meter adalah RM120.00. "Abang saya bayar abang RM60.00 dululah" nanti yang lebihnya saya bayar kemudian, ini no h/p saya..... nama abang siapa? katanya, ketika itu barulah dia menunjukkan keramahannya...

Tidak ada komentar: