21.7.11

Puasa tetap datang


TINGGAL lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam diseluruh dunia akan mula melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.



Justeru itu peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.


Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan. Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.


Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Marilah kita sama-sama mengambil manafaat dari tazkirah yang disampaikan. Semoga ibadah kita diterima....aaaminnnn....

1 komentar:

Princess Buttercup mengatakan...

Selamat Berposa kepada ko sab..